Tuesday, 15 May 2012

SALAM DARI EDITOR

SEKALI BERPENGAKAP, TERUS BERPENGAKAP.

Assalamualaikum dan Salam pengakap buat semua persaudaraan pengakap.

Blog yang dibina ini adalah bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pendapat berkaitan dengan dunia kepengakapan di kalangan ahli-ahli Pengakap Taman Tun Dr Ismail (TTDI), WPKL, dan jua untuk semua ahli pengakap di Malaysia dan serata dunia.


Blog ini juga dilahirkan daripada SEMANGAT PERSAUDARAAN PENGAKAP yang telah dijalinkan sekian lama bersama-sama rakan-rakan perjuangan dari dulu hinggalah tertubuhnya Pengakap TTDI, WPKL ini. TAHNIAH atas kesetiaan anda kerana tidak pernah jemu dan putus asa dalam segala perancangan dan pelaksanaan program yang dirancang.

Insyaallah, akan kami cuba untuk manafaatkan blog ini untuk meningkatkan lagi mutu pergerakan pengakap TTDI dengan lebih rancak dan penuh infomasi berkaitan dengan dunia pengakap.

Bagi anda yang telah memilih atau terpilih menjadi ahli pengakap di sini, ingin pihak kami menasihatkan kepada kalian, jadilah ahli pengakap yang terbaik.  Timbalah ilmu dan pengalaman dari mereka yang mempunyai kepakaran.  Jangan hanya kerana ianya kursus wajib yang perlu diikuti dan gred pencapaian.  Teruskan perjuangan.

Hidup kita setiap hari diatas muka bumi ciptaan Tuhan ini pasti tidak ceria tanpa dugaan dan cabaran. Buatlah apa sekalipun, pergilah kemana – mana sahaja, ada saja perkara yang menguji kita.

Banyak cabaran dan dugaan yang telah dihadapi dalam hidup ini. Kepelbagaian inilah yang mampu mendewasakan kita. Perjalanan hidup mengajar manusia untuk mengerti kepelbagaian ragam dan kerenah atau telatah manusia.

Semakin lama kita meneruskan hidup ini, kita belajar untuk mengenal erti kawan dan lawan. Kadang kala kita menyangkakan seseorang itu kawan, namun sangkaan kita nyata silap andai kawan itu mengkhianati kita. Sedih, mungkin itu yang akan dirasai. Bersedihlah dahulu, kemudian bangkit semula dengan azam dan tekad yang baru.

Tiada permusuhan yang dianjurkan dalam dunia pengakap ini. Baden Powell telah memesan kepada anak didiknya untuk sentiasa berhati-hati dengan persekitaran. Pelbagai ancaman dan cabaran yang terdapat pada persekitaran. Namun begitu, dengan ilmu yang betul, pengakap akan mampu meneruskan perjalanan hidupnya.

Apa yang kita usahakan ini, bukannya untuk kita tapi untuk masa depan generasi yang akan datang. Sokongan padu daripada semua pihak amat-amatlah dialu-alukan oleh pihak kami.

Ingat, sekali berpengakap, terus berpengakap.



Editor: -
NOOR ZANIZAWATI ABDUL WAHAB
(Ahli Pengakap dari Tahun 1985-kini)

Editor bersama cucu kepada Pengasas Pengakap, The Honourable Micheal Baden-Powell