SETITIS TINTA


Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera & Salam Pengakap.

PENGAKAP adalah satu-satunya pasukan atau kumpulan atau pertubuhan badan beruniform yang mengajar, mendidik dan membentuk generasi  dari peringkat kanak-kanak sehingga tanpa batasan usia.

Generasi pada hari ini didedahkan dengan pelbagai kemudahan, teknologi dan cabaran. Hanya yang mampu bertahan dan mampu menangkis segala godaan serta yang dipandu arah tujuan sahaja bakal kekal berjaya meneraju dan memimpin generasi mereka di masa depan.

Dengan semangat setiakawan, sedia berkongsi ilmu, sayangkan pengakap, dan sayangnya kami kepada generasi penerus kepemimpinan negara masa depan, maka kami yang terdiri dari pelbagai golongan latarbelakang dan pengalaman, berpadu tenaga dan usaha menubuhkan Kumpulan Pengakap Taman Tun Dr Ismail ini, beriltizam untuk bersama-sama berganding bahu memandu anak-anak kita hari ini ke arah aktiviti yang lebih berfaedah dan berilmiah melalui ilmu kepengakapan.

Adalah menjadi hasrat kami agar sahsiah dan jatidiri pemimpin masa depan dapat dibentuk seawal usia muda dan tidak mustahil salah seorang pemimpin negara di masa depan bakal lahir dari Kumpulan Pengakap Taman Tun Dr Ismail.

Cogankata, Lafaz Ikrar Pengakap dan Lafaz Undang-undang Pengakap sering diulang-ulang oleh setiap ahli pengakap dalam setiap aktiviti yang dijalankan untuk selalu mengingatkan ahli-ahli pengakap agar lebih berdisiplin dan sentiasa berpegang dengan lafaz yang diucapkan agar tidak tergelincir dari landasan kehidupan seharian.

Besarlah harapan kami agar kita bersama-sama menyokong usaha murni ini dalam aktiviti kepengakapan dan bantulah kami untuk membantu anda melahirkan SATU KELUARGA SATU PENGAKAP RAJA.

SEKALI BERPENGAKAP, TERUS BERPENGAKAP

Wassalam.

ZUNAIDIN BIN MOHAMED
PENGERUSI KUMPULAN PENGAKAP TTDI, WPKL