PENGAKAP adalah satu-satunya pasukan atau kumpulan atau pertubuhan
badan beruniform yang mengajar, mendidik dan membentuk generasi dari peringkat kanak-kanak sehingga tanpa
batasan usia.
Generasi pada hari ini didedahkan dengan pelbagai kemudahan, teknologi
dan cabaran. Hanya yang mampu bertahan dan mampu menangkis segala godaan serta
yang dipandu arah tujuan sahaja bakal kekal berjaya meneraju dan memimpin generasi
mereka di masa depan.
Dengan semangat setiakawan, sedia berkongsi ilmu, sayangkan pengakap,
dan sayangnya kami kepada generasi penerus kepemimpinan negara masa depan, maka
kami yang terdiri dari pelbagai golongan latarbelakang dan pengalaman, berpadu
tenaga dan usaha menubuhkan Kumpulan Pengakap Taman Tun Dr Ismail ini, beriltizam
untuk bersama-sama berganding bahu memandu anak-anak kita hari ini
ke arah aktiviti yang lebih berfaedah dan berilmiah melalui ilmu kepengakapan.
Adalah menjadi hasrat kami agar sahsiah dan jatidiri pemimpin masa
depan dapat dibentuk seawal usia muda dan tidak mustahil salah seorang pemimpin
negara di masa depan bakal lahir dari Kumpulan Pengakap Taman Tun Dr Ismail.
Cogankata, Lafaz Ikrar Pengakap dan Lafaz Undang-undang Pengakap sering
diulang-ulang oleh setiap ahli pengakap dalam setiap aktiviti yang dijalankan
untuk selalu mengingatkan ahli-ahli pengakap agar lebih berdisiplin dan
sentiasa berpegang dengan lafaz yang diucapkan agar tidak tergelincir dari
landasan kehidupan seharian.
Besarlah harapan kami agar kita bersama-sama menyokong usaha
murni ini dalam aktiviti kepengakapan dan bantulah kami untuk membantu anda melahirkan
SATU KELUARGA SATU PENGAKAP RAJA.
“SEKALI BERPENGAKAP, TERUS BERPENGAKAP“
Wassalam.
ZUNAIDIN BIN MOHAMED
PENGERUSI KUMPULAN PENGAKAP TTDI, WPKL